Rasanya seperti baru semalam saya menulis tentang retirement, dan kali ini saya menulis tentangnya lagi. Seperti juga tahun lepas yang rasanya baru semalam, saya baru sahaja habis majlis farewell untuk sahabat brotherhud tilljannah bromance saya, Jon Z (Take note artikel ini lambat keluar, retirement partai berlaku pada bulan mac sebelum puasa dan sekarang adalah setelah May, hari pekerja).
Ini adalah “The Last Supper” yang kedua, dalam tempoh dua tahun berturut.
Selepas Aldilah, kini giliran Jon Z menahan air mata sebak kegembiraan : bebas dari sistem “rat race” yang tidak berpenghujung. Jon Z kini mempunyai “the luxury of time” atau “all the time in the world” untuk buat apa sahaja yang dia mahu, tanpa lagi check email.
Namun tidak seperti Aldilah, kepada Jon Z, saya tanyakan ini dengan sangat serious sekali.
“Lu nak buat apa bro lepas ni?”
Juga tidak seperti Aldilah yang menjawab dengan ceria dan ketawa, Jon Z memandang saya seakan tembus tanpa hijab, diam seketika lalu berkata,
“Gua pun tak tahu lagi…”
Jon Z dan saya sebenarnya sebaya. Kami tahun ini baru 44 tahun. Kalau ikut bulan, saya baru 43 tahun kerana lahir 29 November. Jon Z lebih tua, lahir 13 Mac. Kalau ikut norma dan realiti, jarang ada yang retire semuda ini. Namun rezeki dari Allah ta’ala, saya ketika pada umur 43 tahun ini, telah mempunyai 2 orang kawan rapat yang retire, atau dalam erti kata lain, mencapai financial freedom. Kalau masa muda dulu financial freedom sangat sinonim dengan multilevel marketing dan kita kalau boleh lari dan tanak dengar, namun ketika usia sempurna dan matang ini, financial freedom adalah mempunyai asset / capital yang cukup untuk melahirkan cashflow sehingga akhir hayat.
Jon Z dan saya sebenarnya rakan sekolah sejak tingkatan satu. Kami sama-sama masuk sebagai student 2nd intake, beberapa minggu selepas semua budak pandai di Malaysia masuk asrama. Ini bermaksud, kami skip minggu orentasi. Ini juga bermaksud, kami sangat bernasib baik kerana kami masuk asrama, atas tiket ada kekosongan tiba-tiba, mungkin kerana ada budak yang reject kerana homesick, atau mungkin ada yang lebih pandai terus ke mrsm berbanding kami di sekolah sains. Ini juga bermaksud, kami bukanlah pandai sangat dan mungkin mendapat 4A dalam UPSR secara nyaris tak B.
Jon Z dan saya juga sebenarnya masuk ke universiti yang sama di Melaka. Ketika kawan-kawan kami majoritinya masuk PPP untuk fly ke oversea, kami yang dulu SPM 8 aggregate ntah macam mana nama tidak dalam senarai. Saya jelas kerana mak saya tak bagi namun Jon Z ada cerita lain yang lebih misteri. Kami duduk sebilik di universiti zaman Unitele, kemudian pindah satu rumah setelah setahun duduk di dalam kampus Bukit Beruang. Lagu tema bilik kami ketika cuba menjadi hackers adalah ini : Bedroom Window dari Nice Stupid Playground.
Semasa awal kerja, kami duduk serumah waktu bujang, dan dari situ lahir idea startup pertama kami, – Secretlab.Media Sdn Bhd (juga dengan seorang lagi rakan kongsi Azrai Fahmi yang sekarang dalam track menjadi Christopher Nolan). Namun setelah berumah tangga, kami membawa haluan masing-masing. Jon Z meneruskan kerjaya dengan TM manakala saya sempat kerja beberapa tahun dengan Fujitsu, dan setelah itu meneruskan full time perniagaan dengan Secretlab.Media kerana kecewa gaji naik RM50 selepas beberapa tahun bekerja.
Now, kalau nak tulis pasal sejarah kerja memang panjang namun tu cut short the story, saya ingin bawakan satu babak yang tidak akan pernah saya lupakan sampai bila-bila.
Pada tahun 2013 saya mengalami kemurungan atau depression yang sangat makan dalam. Puncanya adalah rahsia, namun cukup saya katakan yang depression ini bukan sekadar menyebabkan saya terseliuh kaki jatuh longkang, malah saya tenggelam dalam lubang gaung yang gelap hitam legam.
Akibat dari ini, saya hilang fokus dalam perniagaan dan end game dia Secretlab.Media sebuah agensi multimedia design yang pernah buat job dengan Petronas, Khazanah, dan entah apa bala lagi, berada dalam projection yang bakal melingkup. Itu belum cerita beberapa company lain yang saya ada seperti company animation, printing dan sebuah company innovation & research, semuanya enam jahanam.
Lama saya fikir apakah next step saya, dan lebih dramatik, saya telah ke Australia untuk mencari jalan pulang. Saya kira, dalam hidup saya ini, saya telah membuat segala usaha dan segala asa untuk membetulkan keadaan, namun nasib tidak menyebelahi saya.
Siapalah saya untuk menggengam takdir yang tidak tercapai…
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk withdraw dari semua company (masa tu kita transfer share terus tade mintak duit pada partner) dan membuat rancangan untuk balik ke Jitra (rumah mak mertua saya). Saya fikir untuk berhenti dari semua, lalu bagi menyambung sisa hidup, saya akan berkhidmat untuk mak mertua saya sebagai driver dia ke masjid. Saya kira, asal dapat makan nasi dan ada tempat tidur, itu pun sudah cukup sebagai gaji. Saya kira sudah habis emas dan gelang isteri saya gadaikan untuk perniagaan multimedia ini….
Sebelum balik, saya bertemu dengan Jon Z untuk menyerahkan Secretlab kepada beliau. Beliau ketika itu bekerja dengan DHL International di Cyberjaya. Apa yang beliau nak buat dengan Secretlab, itu atas keputusan beliau.
Di kedai mamak di Equine Park itu, saya menceritakan segalanya bagaimana episod hitam dalam hidup saya bermula hingga kepada keputusan untuk berhenti segala. Namun, tidak saya duga ada plot twist malam itu. Kata Jon Z,
“Chill dude… gua berhenti DHL, kita bina balik apa yang dah musnah…”
“Tapi gua tade duit nak bayar gaji lu… lu dah la gaji USD”
“It’s OK dude. Apa lu dapat, kita kongsi dua. Apa hutang lu, kita kongsi dua…”
***
Macam-macam jalan kami cari untuk bangkit semula. Ada satu tahap, kerana langsung tidak ada job, kami buat Ethereum mining dan main Bitcoin untuk bayar gaji staff. Namun umur Secretlab tidak panjang. Dengan hutang hampir RM400K, company ini akhirnya tutup bungkus ikat tepi (Agak lega Jon Z bayar separuh dari itu).
Rupanya Allah mempunyai takdir yang lebih jauh dan lebih indah. Daripada Secretlab, kami buka startup baru yang bersifat fintech, instead of multimedia IT semata. Maka lahirlah senangPay. Kali ini, kami partner dengan dua orang rakan baru, Aldilah (yang retire last year) dan Abdullah Mansor, teraju utama hingga hari ini. Saya jaga brand, creative dan segala strategi, Jon Z jaga IT coding programming bagai, Aldilah marketing dan sales, manakala Mansor on bank, legal, fraud dan operation. senangPay yang bermula pada tahun 2015 dengan 4 orang founder dan few staff, akhirnya pada 13 Mac 2022, senangPay telah diacquire oleh DOKU, sebuah payment gateway gergasi dari Indonesia.
Apabila saya merenung kembali kebelakang, menyambung semua sambil melihat titik-titik yang membawa kami ke hari ini, selain faktor lain seperti synergy partner atau masuk market in the right time atau team yang elit etc, nyata Allah memberi hadiah yang sangat lumayan kepada Jon Z atas keikhlasan dan kesanggupan beliau berhenti kerja untuk membantu saya keluar dari kegelapan.
Sekiranya beliau tidak berhenti, saya hari ini mungkin sedang menjual buah mempelam di Jitra. Sekiranya beliau tidak berhenti, kami tidak akan berjumpa dengan Aldilah dan Mansor. Sekiranya beliau tidak berhenti, senangPay mungkin wujud di multiverse galaksi yang lain dan mungkin DOKU dari multiverse itu yang masuk sebagai investor.
Saya sejujurnya tidak tahu apa yang ada di dalam kepala Jon Z, 10 tahun lepas pada malam itu di sidang pleno kedai mamak equine. Namun saya pasti apa yang ada di dalam hatinya malam itu membuahkan hasil yang tidak pernah diduga oleh kami.
Those who chose the path nobody choose enjoy the fruits nobody enjoy.
***
To my brother, buddy holy Jon Z.
Terima kasih atas semua nasihat, perkongsian ups and down, joke bangang, strategi, idea, game plan, tactical, inception serta all those things you do and esp. your fav quote “Wackie-wackie… The early bird gets the worm”.
Terima kasih kerana berhenti kerja dari DHL dulu dan percaya pada gua walaupun Secretlab kita kelaut. Gua doakan lu sentiasa sihat, cak, dan bertambah profit dalam semua investment yang lu masuk esp. Bitcoin. Semoga Bitcoin menjadi USD1 M per BTC pada tahun 2025 atau paling lewat 2030. Dan terima kasih bagi gua tumpang hadiah hari jadi lu 13 Mac 2022 dari Allah Ta’ala.
AMIN