Kami rasanya, ada dalam 4-5 orang. Semua dari kami, adalah kawan sekolah lama dulu di Pekan. Di dalam bangunan tinggi yang berwarna kelabu itu, salah seorang dari kami, Ikhwan, bergegas mengetuai berjalan menuju masuk ke dalam sebuah lif.
Aku dibelakangnya nampak jelas, pintu lif itu terbuka dan kami seorang demi seorang mengikuti Ikhwan melangkah kedalam.
Aku tanyakan kepada Ikhwan, kemana kita ini? Ikhwan lalu mendepakan tangan lalu mencantumkan kedua ibu jari dan jari telunjuk kiri dan kanan, seakan membuat bentuk tiga segi. Lalu kemudian, di dalam tiga segi itu, perlahan-lahan, fade in, Aku melihat keluar dimensi lain yang warnanya lebih kuat dan jelas, threshold cahayanya kuat memancar tapi bukan sampai sakit mata.
Lalu kemudian baru Aku faham, kami bukan masuk untuk naik ke atas, tapi kami masuk untuk masuk ke dalam lagi. Ikhwan sebenarnya telah membuka sebuah pintu atau portal untuk kami teleport ke dimensi lain.
“Masanya sekarang… tidak boleh lewat lagi”, kata Ikhwan sambil mengawal jari tangannya, kerana, ketika dimensi itu dibuka, dia seperti struggle mengawal untuk memastikan ia terus terbuka.
Dalam pada Ikhwan cuba untuk membesarkan portal itu dengan membesarkan bentuk tiga segi dari tangannya, seorang kawan Aku rupanya masih di pintu lif. Dia seakan terhenti tiba-tiba dan melihat kami dari luar. Seperti, kakinya terpaku pada lantai dan dia, tidak boleh melangkah lagi. Ketika Aku cuba memanggilnya masuk, pintu lif terus tertutup.
Aku lalu menoleh kepada Ikhwan, namun Aku dapati Ikhwan telah hilang dalam portal yang dibukanya sendiri. Dan kami yang tertinggal, saling toleh menoleh tidak faham, wtf yang tengah berlaku ini?
Di sebelah hujung dalam lif, ada seorang perempuan, Tun Hanina namanya, lalu dia menoleh dan berkata kepada Aku,
“Masa kamu belum lagi..”